SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menafikan kononnya berlaku cubaan menculik kanak-kanak di negeri itu seperti yang tular menerusi media sosial, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Muhammad Izzudin Runggai berkata, setakat ini tiada laporan diterima membabitkan kejadian berkenaan di semua daerah di negeri tersebut.

“Kita dah buat semakan tiada apa-apa laporan kejadian seumpama itu berlaku di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Jadi kita percaya kejadian yang tular itu bukan di negeri ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu hantaran sebuah video berdurasi tiga minit yang dimuat naik di laman Facebook oleh pemilik akaun ‘Penduduk N9’ tular dan mendapat perhatian warganet.

Video itu memaparkan dua lelaki yang menaiki motosikal dan lengkap memakai topi keledar cuba menculik dua kanak-kanak yang sedang bermain di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan taska.

Mengulas lanjut ujar Muhammad Izzudin, pihaknya turut menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam membuat hantaran di laman sosial terutamanya yang boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

“Pihak polis akan tetap menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan masyarakat juga diingatkan untuk tidak berkongsi sesuatu yang belum pasti.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk terus membuat laporan kepada pihak polis sekiranya mengesan ataupun mempunyai maklumat tentang apa-apa kes jenayah,” tambahnya.